Saya
jarang menulis ulasan persembahan teater. Pernah ada beberapa kawan yang
mengesa saya mengulas teater mereka, tetapi saya menolaknya secara berhemah.
Satu, kerana saya tidak suka memuji atau menghentam sesebuah kerja seni. Pada
saya ia abstrak, baik atau buruk sentiasa boleh dipersoalkan, jadi untuk apa?.
Yang keduanya, saya tidak suka untuk menjadi ‘jujur’. Lebih baik diam sahaja.
Tetapi berbeza dengan Eskape, seolah
ada tuntutan spiritual untuk menulis tentangnya. Saya cuba untuk melupakannya
seperti menonton teater-teater lain tetapi ia membuat saya geram dan berkecamuk.
Saya perlu berkongsi pendapat saya mengenainya, dengan sesiapa sahaja.
Teater Eskape miskin pada gaya,
tetapi pemaknaannya kaya. Eskape adaptasi dari naskhah Jean-Paul Satre, No Exit
dan diarahkan oleh Qayyum Qistina, pelajar dari UiTM Puncak Perdana untuk
melengkapkan pengajian teaternya.
Seni penataan pentasnya sangat
minimalis. Hanya tiga buah kerusi untuk 3 orang pelakon. Serta ruang stage juga
sangat sempit. Waktu saya masuk ke dalam panggung, saya tertanya-tanya juga
bagaimana mereka akan berlakon dalam ruang yang kecil itu. Saya pernah terlibat
dalam beberapa teater sebagai pelakon dan sebagai amatur, saya kerap boros
dalam penggunaan ruang. Ini membuatkan saya teruja untuk melihat bagaimana
mereka mengapungkan karakter dalam ruang sesempit itu.
Eskape mengisahkan tiga orang asing
yang dihumban ke sebuah tempat seperti bilik kurungan akibat perbuatan masa
lampau mereka. Dalam bilik tersebut, mereka saling mempertikaikan antara satu
sama lain. Johan, bekas wartawan yang ditembak mati kerana enggan menyertai
perang, Faridah mati dalam letupan gas dan Sofea, gadis cantik yang mati kerana pneumonia. Mereka semua dalam kebingungan dalam bentuk apa siksaan yang
akan dialami dan menganggap dibiarkan tanpa jawapan disitu juga salah satu
bentuk hukuman, yang paling dasyhat.
Lakonan antara perkara yang menonjol
yang saya suka dalam teater ini. Seperti yang saya beritahu, berlakon dalam
ruang yang terbatas bukanlah mudah. Jadi dalam konteks lakonan mereka, sangat
cantik apabila mereka begitu bijak memanipulasi ruang. Sehinggakan setiap
gerakan menjadi begitu bermakna (atau mereka perlu memaknakannya kerana
terdesak). Jadi setiap pergerakan sekecil-kecilnya diambil kira, seperti
jelingan, dengusan, kilasan. Saya paling suka watak Faridah (lakonan Aifa Amalina) sebagai perempuan
jahanam. Pergerakannya memukau. Cara dia duduk, berdiri dan bergerak
seolah-olah dia bersatu dalam keterbatasan ruang tersebut. Johan (lakonan Yassin Fattah) juga pelakon
yang pandai bermain rentak dengan Faridah, cuma ada beberapa
tempat Faridah dilihat mendominasi, tetapi mereka tetap gandingan yang sesuai. Dan
Sofea, lakonanQiu Qatina sebagai makwe cantik (yang memang tipikal dalam groupie) juga berjaya
membantu dalam melengkapkan trio pesalah neraka ini.
Tentang teksnya, saya rasa tak perlu
untuk bahas lagi. Ia dari Satre, siapa
yang tak tahu mamat eksistensialis ini. Akan tetapi pengolahannya ke bahasa
melayu saya rasa sebuah kerja yang begitu teliti. Dialognya tak kedengaran
janggal dan sangat memikat. Bulu roma saya meremang saat Faridah menjerit, “Kita
ini jiwa-jiwa yang dilaknat”. Ia buatkan saya tersentak. Dan beberapa lagi
pengucapan yang sangat menyegarkan rohani pada malam tersebut. Saya pernah baca
teks ini dalam bahasa indonesia, oh ia ada rasa yang sangat teruk. Saya rasa
bersyukur bila mereka tak ambil teks tersebut untuk dipentaskan.
Dalam ruang yang daif, latar hitam,
pentas sempit dan pencahayaan yang agak malap. Saya betul-betul menikmatinya. Ia
sebuah pengalaman magis teater. Saya sangat sukakan teater kerana keintimannya
berbanding medium filem, akan tetapi sangat jarang saya dapat menikmati magis
tersebut dalam teater di sini. Dari Eskape, saya betul-betul menikmati cara
permainannya blockingnya, pengucapan dialog, dan pergerakannya yang sangat
estetik.
No comments:
Post a Comment