Friday 13 October 2017

Terperangkap dalam studio teater: Teater Projek Kamar





Projek Kamar adalah cantuman 4 teater pendek yang digerakkan oleh sekumpulan pelajar fakulti teater Puncak Perdana. Saya tertarik untuk menonton kerana dua faktor, 1) tiketnya murah (RM 8),  2) ia dibuat dalam semangat kolektif  independent yang perlu saya sokong.

Saya memang seorang yang menepati masa. Seingat saya dalam hidup hanya beberapa kali saya terlewat, dan biasanya tak disengajakan. Jadi untuk teater ini saya datang agak awal macam biasa, malangnya ia buatkan saya perlu di duduk di hadapan dan dihimpit oleh audien yang penuh di belakang.

Teater ini dibuat dalam studio, dan ruangnya terbatas. Ada 2 pintu keluar, satu di hadapan saya telah diblock oleh set, dan hanya tinggal satu di belakang. Tetapi saya perlu menari samba mengelak audien yang penuh jika teater tersebut buatkan saya rasa nak keluar. Mustahil untuk saya lakukan.
Posisi kedudukan ini saya kira agak genting, kerana saya pernah ada pengalaman keluar dari panggung  kerana teater terlalu teruk. Saya hanya mampu berdoa agar teater ini setidak-tidaknya okay.

Jadi meneruskan kembali sorotan terhadap Projek Kamar ini, terdapat 4 buah play, Kurungan arahan Mat Najem, Balada Segumpal Darah arahan Shasha Fairus, Haila Kau Rasa arahan Shaila Shuid dan Mat Chia Chia arahan Shela Roger. Dalam intermission setiap teater, terdapat juga persembahan selingan silap mata persis Teater Bangsawan. Selingan ini buatkan saya setidak-tidaknya sudah rasa berbaloi, tanpa ambil kira faktor setiap teater tersebut.

Okay, kerana setiap play ini berbeza konteks, maka saya cuba untuk mengulasnya secara satu persatu.

Kurungan-arahan Mat Najem. Teater pendek ini paling longgar di antara tiga yang lain. Ia juga agak selekeh, mungkin kerana Mat Najem satu-satunya pengarah lelaki dalam barisan pengarah lain. Tetapi ada sesuatu yang saya suka tentang teater ini. Jika ditanyakan mana yang terbaik menurut citarasa saya, tak ragu-ragu untuk pilih play ini. Ia mengenai seorang lelaki lemah dan nampak skema, dimasukkan ke penjara dan cuba untuk deal dengan otai penjara yang nampak tegap dan cakap macam samseng. Saya agak terhibur dengan akting mereka. Ketiga-tiga pelakon mereka berada dalam garis antara berlakon dan cover macho tak berlakon(bagaimana tu?). Tindakan mereka menghasilkan gesture yang janggal. Saya pun tak tahu sama ada nak gelak atau nak bersimpati, tapi akhirnya saya gelak juga kerana ia sangat selamba. Part mamak tu kaku sambil buat pose pandang ke atas macam aksi komikal dalam filem Mamat Khalid.

Balada Segumpal Darah arahan Shasha Fairus. Approach teater ini mengingatkan saya pada drama tempatan yang sering disiarkan pada bulan Ramadhan waktu kecil (sekarang tak tahu sebab dah berhenti menonton tv). Ia drama yang paling drama sampai ke level memaksa penonton menangis. Mengisahkan 3 orang perempuan dengan attitude yang berbeza mengambil keputusan nekad untuk mengugurkan kandungan mereka yang tidak sah. Penyampaiannya diisi dengan nasihat, ratapan dan doa harapan dari bayi yang menjadi satu metafora. Tetapi ada juga beberapa perkara yang boleh buatkan saya teruskan menonton. Permainan blockingnya agak menarik dan tak disampaikan secara mendatar. Pengarah memanfaatkan ruang menjadikan ia sedikit dinamik. Saya teruja bila dua pelakon dari situasi yang berbeza melontarkan dialog secara seragam. Setidak-tidaknya teater ini masih menawarkan pengalaman teater untuk saya walaupun saya agak tidak suka dengan pendekatannya lebih-lebih lagi sound yang memang sering ada dalam teater yang sedih.

Haila Kau Rasa arahan Shaila Suid. Ini play yang  paling ringan tetapi dibikin dengan kemas. Ia mengisahkan rumah tangga haiwan yang homegenus. Cicak dan pasangannya Harimau, sedang mengadakan sesi interview untuk mencari jodoh pada anaknya dengan bantuan agensi jodoh. Ia cocok untuk tontonan kanak-kanak, tetapi masih menghiburkan. Ada nampak usaha pengarah untuk menjadikan play ini berkesan. Susunan adegannya tepat dengan timing. Tarian opening scene paling saya suka. Dua penari dengan jantina berbeza mengimitasi gerakan haiwan kelihatan sangat bersahaja. Tarian tersebut agak spiritual dan apabila masuk cerita terus potong mood. Ia memang kelakar tapi bukan untuk penonton yang serius.

Mat Chia Chia arahan Shela Roger. Beberapa tahun di sini saya kerap melihat teater dengan pendekatan jenaka begini, ala persembahan pentas raja lawak. Ia meraikan budaya popular, dan saya memang ada masalah dengan pop culture yang basi. Mengisahkan seorang pemuda yang berbekalkan pick up line buat kecoh di warung dibantu oleh pengunjung-pengunjung lain. Play ini yang saya rasa paling jauh dengan semangat teater. Masalah yang timbul adalah penekanan terhadap lawak-lawak yang sterotaip, segera dan secara sengaja mencipta adegan humor. Ia beri kelebihan pantas dalam mengundang gelak tawa tetapi bersifat sementara. Saya percaya pengalaman teater perlu lebih dari itu. Antaranya sisi manusiawi, suntikan mis en scene, permainan movement dan blocking yang membuatkan ada beza teater dan jenaka pentas. Mat Chia Chia juga macam mengambil blueprint sitkom klise tv tempatan, terutamanya dengan latar warung kampung, karakter orang tua yang tipikal orang tua kampung dan tak sah kalau tak ada watak bodoh-bodoh alang yang berselipar di tangan.

Keseluruhannya, saya dapat bertahan sampai habis walaupun pada awalnya agak curiga pada tajuk-tajuknya. Saya percaya ini teater pertama arahan barisan pengarah (kebanyakkan nama pengarah saya tak familiar), dan di sini kritikan saya anggap penting, untuk menguji, mencabar dan mematangkan idea mereka. Barangkali, mereka juga  adalah suara teater di masa akan datang, dan untuk itu mereka perlu bersedia pada pancaroba dunia bak kata orang-orang bijak pandai.

No comments:

Post a Comment