Saturday 30 July 2016

Aktor dan Sindrom 'Miskin Imaginasi'

     

*Gambar diambil dari Google
  
          Lakonan sentiasa mengujakan untuk saya fikirkan, kerana sifat-sifat ambiguiti yang terdapat padanya. Susah untuk menentukan lakonan yang ideal. Ada orang yang sukakan lakonan ekspresif, ada pula sukakan lakonan yang natural, dan saya sendiri pernah menemui seseorang yang mengakui ia cukup senang melihat lakonan kayu. Perbezaan ini perlu dikaitkan dengan period zaman dan aliran gaya seni. Teater Yunani penampilannya sangat berbeza dengan Teater Moscow , serta tak sama teknik lakonan yang diperkenalkan Brecth dan Grotowski. Itu perlu difahami.

            Dari sifat ketidakjelasan dalam bidang lakonan membuatkan ia menarik untuk diperdebatkan. Andaian saya ini mungkin tidak kuat, tetapi secara realitinya kita boleh menyaksikan bahawa bidang ini dengan sengaja diremehkan.

Ada pelakon yang bagus melalui jalan penguasaannya secara  teori. Ada yang melalui kebiasaan yang berterusan. Ada juga yang pertama kali menampilkan dirinya dan memberikan kesan hebat. Ada yang menjadi dengan pengarah tertentu dan menurun bila di bawah pengarah lain. Dari pemerhatian ini membuatkan saya tertanya-tanya, bagaimanakah lakonan yang ideal?

 Apakah asas atau kelayakan yang perlu ada untuk menjadi seorang pelakon? Seolah-olah sesiapa sahaja boleh berlakon asalkan mereka memiliki pakej yang sesuai, contohnya segak untuk watak antagonis, fizikal yang menonjol untuk watak komedi. Siapa yang telah menentukan tanggapan ini, penerbit? Pengarah? Penonton?

Lakonan perlu ditanggapi secara akademik, empiris, dan mungkin jika ada keinginan yang lebih jauh, secara spiritual (saya bayangkan aktor kita memanjat gunung dan bertapa dalam gua). Pelajar-pelajar lakonan misalnya boleh mengumpulkan data-data pelakon melayu secara akademik untuk dijadikan model perbandingan. Sepatutnya gaya lakonan dari masyarakat melayu mestilah mempunyai perbezaan dari gaya barat. Etos melayu mempunyai perbezaan dengan etos-etos dari budaya lain dan melalui kajian secara sistematiklah yang akan dapat mengayakan ilmu lakonan milik kita.
 Pernah tercatat, bahawa pelakon-pelakon teater klasik india, telah dilatih sejak mereka kecil lagi. Teater tradisional sangat menekankan kesempurnaan kerana ia adalah ritual keagamaan. Mungkin ia sudah tidak relevan pada zaman ini untuk bermula sejak kecil, tetapi gambaran ini boleh dijadikan sebagai sebuah contoh bagaimana masyarakat silam menghargai lakonan. Ia dianggap satu kerja yang kudus berbanding orientasi pelakon hari ini, yang mengejar kemilau populariti dan satu sumber pendapatan.

            Selain itu, aspek imaginasi sebagai essence juga bagaikan tak menjadi keutamaan sebagai persediaan pada pelakon. Buku dan aktor tidak intim seperti mana-mana kerjaya profesional lain. Sukar untuk mendengar wawancara bersama aktor, mengenai buku apa yang menjadi rujukan untuk membawakan watak ini. saya tertarik dengan bengkel teater yang dikendalikan oleh Ws Rendra suatu ketika dulu.  Rendra dan kumpulannya sangat membudayakan perbincangan ilmiah dari berbagai-bagai disiplin pengajian dari sosiologi, psikologi, teologi, falsafah sehinggalah kosmologi. Budaya ini tak kita dapati disini. Perbincangan hanya terapung pada permukaan sahaja. Terutamanya beberapa aspek zahir seperti kesesuaian aktor, mimik dan gesture.

Pelakon juga disarankan untuk meneliti novel-novel atau skrip pentas agung. Misalnya pembinaan watak di dalam novel menekankan aspek karakter multi-dimensi, contohnya karakter Theresa Raquin tulisan Emile Zola. Thresa adalah perempuan yang hidup dalam tekanan tetapi jiwanya hauskan pada kebebasan. Ia menyembunyikan kehendaknya dari pandangan ibunya, tetapi karakter buasnya terkeluar saat bersama kekasihnya. Watak yang kompleks sebegini terdapat dalam banyak novel-novel yang bermutu. Pembacaan yang teliti boleh mengembangkan daya imaginasi serta memberikan lebih warna dalam karakter lakonan.

Pelakon-pelakon yang streotaip, yang tidak mempunyai warna pada watak saya menganggapnya sebagai satu gejala ‘kemiskinan imaginasi’. Pelakon sebegini biasanya mengikut acuan tanggapan yang telah sedia ada dalam kotak fikiran yang sempit. Misalnya, penjenayah sinonim berambut panjang dan selekeh, pesakit psiko kerap mata terbelalak dan  menjerit tak tentu arah. Kekurangan dari segi pembacaan, tontonan filem yang meluas dan kurang menganalis kehidupan seharian adalah antara punca pada gejala ini. ( dengar cakap saya, jika anda ada simptom-simptom ini, lekas-lekas memperbaiki diri).

            Perbincangan dalam lakonan sepatutnya lebih luas dan perlukan kajian yang lebih mendalam.Tulisan ini saya menganggapnya sebagai pemula atau pembuka jalan untuk meraikan bidang lakonan yang lebih bersifat kritis. Kerjaya ini tak seperti kerjaya lain, tak ada modul dan klasifikasi untuk tentukan. Anda perlu mencari kelainan untuk terus berada di atas pentas, atau jika tidak hanya menjadi pelakon tangkap muat yang akan dilupakan apabila berlalunya zaman. Nilai lakonan adalah subjektif seperti yang telah saya tulis awal-awal, tetapi sekurang-kurangnya jika dianggap ‘kayu’ dalam lakonan, anda telah menyediakan pembuktian dan kewajaran dalam gaya tersebut.