Wednesday 2 November 2016

Aspirasi tayangan filem pendek

                                                   

          Dalam satu wacana yang bertajuk, Philosophy, Arts & Dialogue yang disampaikan oleh Dr. Ahmad Murad Merican, saya tertarik dengan skop sebagai ahli filosi. Katanya, “Filosofi tak hasilkan produk atau memberikan perkhidmatan servis pada pelanggan seperti kerjaya lain, apa yang filosofi lakukan adalah berdialog”.

            Ucapan ini menjawab persoalan yang sering berlegar dalam fikiran saya. Saya sering tak dapat pertahankan diri apabila dikritik apa yang telah saya lakukan untuk kesenian selama ini. Mana artwork saya misalnya. Selalunya situasi ini berlaku bila saya mengkritik artworks pembikin seni yang lain.

             Jika dikritik lagi, saya akan menjawabnya dalam huruf besar dan emosi yang bersemangat: FILOSOFI BERDIALOG.

            Jadi untuk memulakan dialog. Saya terfikir untuk mulakan dalam kelompok komuniti kami. Dalam lingkungan pelajar. Saya tahu sangat mustahil kalau hendak mulakan dengan topik yang serius dan akademik. Lingkungan pelajar kita masih terlalu jauh untuk itu. Kami pernah cubanya dahulu, ia tidak bertahan lama. Mungkin juga kami yang gagal menguruskannya.

            Idea lain kami fikirkan adalah dengan membuat perkara yang lebih seronok dan puas. Buat filem pendek, tayangkannya dan berdialog sesama kami. Ia semestinya dilakukan secara berkala untuk mengekalkan konsistensi dan momentum dialog tersebut.

            Untuk spesifikasi konsep pembikinan filem pendek tersebut pula, saya meletakkan syarat ia perlulah segar dan radikal. Syarat tersebut saya kira wajar. Terlalu banyak rungutan tentang betapa teruknya idea yang ada dalam hiburan komersial sekarang. Jadi untuk counter saya rasa taklah susah sangat. Buat sahaja yang bertentangan dengan hiburan arus perdana. Maka akan dapat kesegaran dalam karya yang nak dihasilkannya. Saya juga menyarankan untuk mencuba pelbagai teknik dan aliran yang sedia ada dalam teori perfileman. Surrealisme, eksprimental, realisme sosial, nihilisme. Apa-apa sahaja dan tak kisah hasil yang akan keluar bagaimana.

            Pada hari Jumaat, bertarikh 4 November 2016 adalah tayangan pertama filem-filem pendek yang telah dikumpulkan. Dalam tulisan ini juga, saya berharap tayangan ini akan berterusan dan untuk itu ia perlukan lebih banyak filem-filem pendek yang perlu dikumpulkan. Ia terbuka pada sesiapa sahaja kerana saya percaya setiap orang menyimpan syaitan dalam diri masing-masing, cuma macam mana hendak keluarkannya dalam bentuk format filem.

            Jangan tunggu lagi, mulakan rakam idea gila anda dan kita dialog bersama-sama.

            

Tuesday 1 November 2016

Teater Eskape: Sebuah pengalaman magis dalam pengap.

                 


             Saya jarang menulis ulasan persembahan teater. Pernah ada beberapa kawan yang mengesa saya mengulas teater mereka, tetapi saya menolaknya secara berhemah. Satu, kerana saya tidak suka memuji atau menghentam sesebuah kerja seni. Pada saya ia abstrak, baik atau buruk sentiasa boleh dipersoalkan, jadi untuk apa?. Yang keduanya, saya tidak suka untuk menjadi ‘jujur’. Lebih baik diam sahaja.

            Tetapi berbeza dengan Eskape, seolah ada tuntutan spiritual untuk menulis tentangnya. Saya cuba untuk melupakannya seperti menonton teater-teater lain tetapi ia membuat saya geram dan berkecamuk. Saya perlu berkongsi pendapat saya mengenainya, dengan sesiapa sahaja.

            Teater Eskape miskin pada gaya, tetapi pemaknaannya kaya. Eskape adaptasi dari naskhah Jean-Paul Satre, No Exit dan diarahkan oleh Qayyum Qistina, pelajar dari UiTM Puncak Perdana untuk melengkapkan pengajian teaternya.
          
           Seni penataan pentasnya sangat minimalis. Hanya tiga buah kerusi untuk 3 orang pelakon. Serta ruang stage juga sangat sempit. Waktu saya masuk ke dalam panggung, saya tertanya-tanya juga bagaimana mereka akan berlakon dalam ruang yang kecil itu. Saya pernah terlibat dalam beberapa teater sebagai pelakon dan sebagai amatur, saya kerap boros dalam penggunaan ruang. Ini membuatkan saya teruja untuk melihat bagaimana mereka mengapungkan karakter dalam ruang sesempit itu.

            Eskape mengisahkan tiga orang asing yang dihumban ke sebuah tempat seperti bilik kurungan akibat perbuatan masa lampau mereka. Dalam bilik tersebut, mereka saling mempertikaikan antara satu sama lain. Johan, bekas wartawan yang ditembak mati kerana enggan menyertai perang, Faridah mati dalam letupan gas dan Sofea, gadis cantik yang mati kerana pneumonia. Mereka semua dalam kebingungan dalam bentuk apa siksaan yang akan dialami dan menganggap dibiarkan tanpa jawapan disitu juga salah satu bentuk hukuman, yang paling dasyhat.

            Lakonan antara perkara yang menonjol yang saya suka dalam teater ini. Seperti yang saya beritahu, berlakon dalam ruang yang terbatas bukanlah mudah. Jadi dalam konteks lakonan mereka, sangat cantik apabila mereka begitu bijak memanipulasi ruang. Sehinggakan setiap gerakan menjadi begitu bermakna (atau mereka perlu memaknakannya kerana terdesak). Jadi setiap pergerakan sekecil-kecilnya diambil kira, seperti jelingan, dengusan, kilasan. Saya paling suka watak Faridah (lakonan Aifa Amalina) sebagai perempuan jahanam. Pergerakannya memukau. Cara dia duduk, berdiri dan bergerak seolah-olah dia bersatu dalam keterbatasan ruang tersebut. Johan (lakonan Yassin Fattah) juga pelakon yang pandai bermain rentak dengan Faridah, cuma ada beberapa tempat Faridah  dilihat mendominasi, tetapi mereka tetap gandingan yang sesuai. Dan Sofea, lakonanQiu Qatina sebagai makwe cantik (yang memang tipikal dalam groupie) juga berjaya membantu dalam melengkapkan trio pesalah neraka ini.

            Tentang teksnya, saya rasa tak perlu untuk  bahas lagi. Ia dari Satre, siapa yang tak tahu mamat eksistensialis ini. Akan tetapi pengolahannya ke bahasa melayu saya rasa sebuah kerja yang begitu teliti. Dialognya tak kedengaran janggal dan sangat memikat. Bulu roma saya meremang saat Faridah menjerit, “Kita ini jiwa-jiwa yang dilaknat”. Ia buatkan saya tersentak. Dan beberapa lagi pengucapan yang sangat menyegarkan rohani pada malam tersebut. Saya pernah baca teks ini dalam bahasa indonesia, oh ia ada rasa yang sangat teruk. Saya rasa bersyukur bila mereka tak ambil teks tersebut untuk dipentaskan.

            Dalam ruang yang daif, latar hitam, pentas sempit dan pencahayaan yang agak malap. Saya betul-betul menikmatinya. Ia sebuah pengalaman magis teater. Saya sangat sukakan teater kerana keintimannya berbanding medium filem, akan tetapi sangat jarang saya dapat menikmati magis tersebut dalam teater di sini. Dari Eskape, saya betul-betul menikmati cara permainannya blockingnya, pengucapan dialog, dan pergerakannya yang sangat estetik.

            

Monday 22 August 2016

Dilema Teater: Keutamaan pada Naratif atau Karakter?

 
      *Gambar diambil dari Google     

              Jika ditanyakan, di dalam sesebuah persembahan teater, manakah yang lebih utama di antara naratif atau karakter? Apakah naratif lahir dari penciptaan karakter, atau karakter diwujudkan demi memenuhi tuntutan naratif?.

Bolehkah sesebuah naratif wujud tanpa karakter atau mempunyai karakter tanpa alur naratif? Kedua-dua ini adalah komponen terpenting di dalam sesebuah teater. Apa  yang disebut Grotowski, pendiri mazhab teater miskin; Set, Lighting, Make-Up, Props baginya hanyalah sampingan yang membantu sesebuah persembahan. Itu tidak perlu dititikberatkan, apa yang paling penting dan utama adalah ‘KARAKTER’. Bahkan Grotowski menganggap, bahawa naskhah itu tidak penting sama sekali.

Pendapat ini juga disokong oleh Asrul Sani, penggiat teater Indonesia, baginya aktor adalah segala-galanya di dalam dunia teater, yang membezakan dengan dunia filem. Dan katanya lagi, teater yang berlaku sekarang, aktor tidak lagi berperanan kerana yang berfungsi adalah sutradara.

Pusat teater kita masih ketandusan karakter yang boleh dianggap sebagai ikon. Seingat saya, kita masih tidak mempunyai sebuah karakter yang disebut-sebut, diingati bahkan dikaji, apabila sesudah sesebuah persembahan. Kebanyakkan naskhah telah mati semasa persembahan, dan ini menurut saya adalah kerana tahap lakonan yang tidak mampu mengangkat naskhah itu pergi lebih jauh.
Inilah  perkara fundamental yang paling dirunsingkan dalam teater, tetapi kerap dilupakan oleh  kebanyakkan pelajar-pelajar yang terlibat dengan teater di sini, iaitu ‘watak yang tidak mempunyai perwatakkan’.

Mengapakah masalah gejala asas teater kerap berlaku di sebuah fakulti teater? Sebuah pusat yang membahaskan dan mempraktikan ilmu lakonan. Apakah rahsia-rahsia di dalam teater, yang aktor di sini masih tidak ketemui?

             Jika di dalam kehidupan realiti, ‘watak yang tidak mempunyai perwatakkan’ diumpamakan manusia yang tidak berjiwa, yang kehidupannya hanya memenuhi tuntutan arus kehidupan. Apa yang difikirkan hanyalah menyelesaikan hari demi harinya.  Tanpa memikirkan apakah tujuan kehidupannya sendiri. Sebuah proses perulangan sehinggalah ia mati.

Saya tidak akan menyentuh tentang kandungan sesebuah naskhah, itu boleh dibincangkan di dalam siri artikel lain. Naratif adalah jalan sesebuah cerita, ia adalah dunia atau rumah kepada karakter.  Walau seteruk mana dunia yang didiaminya, itu terpulang kepada kewujudan naskhah itu sendiri. Dunia realiti juga kita akan mendapati, ramai yang mengalami kehidupan yang teruk, buruk, menyayatkan. Itu tiada masalah.

Tetapi karakter perlu hidup dan berkesan, bahkan saya boleh mengatakan ia wajib ‘hidup’ untuk sesebuah persembahan. Tidak akan pernah ada seorang manusia di dunia ini yang wujud tetapi tidak mempunyai identiti atau karakter mereka tersendiri, ini saya jamin.  

 Kadangkala saya keliru dan akhirnya saya membuat keputusan, bahawa keutamaan karakter yang perlu menjadi prioriti berbanding jalan cerita itu sendiri. Bukankah seseorang manusia itu dilahirkan dahulu sebagai bayi sebelum ia mempunyai jalan kehidupannya (naratif) sendiri. Atas hujah ini lah saya membuat keputusan bahawa, seorang pengkarya PERLU MELAHIRKAN KARAKTER LEBIH DAHULU BERBANDING SUSUNAN CERITA. Oh, ini bukanlah suatu bentuk pemaksaan idea pada karyawan, ini hanyalah sebuah gagasan saya sahaja. Menerima atau menolak akhirnya berbalik pada diri anda sendiri.


METODE ‘MENGKARAKTERKAN’ KARAKTER

Ini adalah kaedah saranan melalui pemerhatian saya dalam beberapa penglibatan  secara kecil-kecilan di dalam dunia pementasan di sini, dan mungkin saya masih belum mempunyai pengalaman yang secukupnya di dalam bidang ini, tetapi itu tidak semestinya bahawa saya tidak boleh mempunyai pendapat tentangnya, semua orang boleh berpendapat, dan semua pelajar di sini khususnya boleh memulakan untuk menerbitkan idea mereka secara kritis. Jadi saya turunkan beberapa cadangan-cadangan yang mungkin mempunyai manfaat,

1-       Lahirkan watak terlebih dahulu. Apa-apa sekalipun watak dahulu, bukan jalan cerita atau sinopsis. Barangkali, sinopsis hanya sesuai ditulis bila naskhah itu sudah selesai, dan karakter kita sudah menyelesaikan katarsisnya sendiri. Ini yang utama. Apabila watak dan perwatakkan sudah lahir, secara automatik ia akan mempunyai jalan ceritanya.

2-      Elakkan diri dari menjadi ‘tuhan mutlak’ kepada karakter yang diwujudkan. Bina watak tersebut tanpa mempengaruhinya dalam apa-apa keputusan yang mahu dilakukannya. Biarkan ia bebas menentukan takdirnya. Watak di dalam naskhah juga seperti manusia di dalam dunia nyata, yang tidak mahu dikongkong. Cuba bayangkan segala aksi dan reaksi kita sudah diaturkan pada kita sepenuhnya oleh Tuhan, adakah kita masih layak menjadi khalifah dan menguruskan dunia(naratif) ini? Jadi persoalan ini sudah membayangkan akan ketiadaan tragedi/konflik/dilema di dalam naskhah tersebut kerana diuruskan orang-orang yang tidak berperasaan.


3-      Tidak menambah-nambah watak semata-mata nafsu tukang cerita tersebut. Adakah kita suka apabila kita sendiri ditentukan dengan siapa kita patut berkawan, dengan siapa kita patut keluar bertemujanji di kompleks, atau kita dikhianati oleh siapa. Barangkali itulah kehendak karakter yang dilahirkan kita, yang mahu bebas dengan jalan perjuanganya sendiri. Berikan ia nafas, pilihan fikiran dan nafsu. Jika tidak, anda tidak boleh sesuka hati melahirkan ia ke dalam dunia naratif anda. Benarkan ia memilih kawannya sendiri, masyarakatnya sendiri dan hiduplah mereka bersama-sama kerana pilihannya itu. Bukan kerana kehendak sutradara.

4-      Tidak terburu-buru untuk memasukkan metafora atau subtext di dalam dialog karakter. Kadangkala ada suatu pemikiran yang beranggapan subtext  adalah sesuatu yang membuatkan karya tersebut kelihatan intelektual, dan kelihatan bergaya. Seolah-olah semakin rumit sesebuah dialog, maka semakin berkualiti naskhah tersebut. Itu silap. Logiknya, percakapan seseorang manusia tidaklah mengandungi subtext sepanjang masa, melainkan ada situasi-situasi yang mengkehendakinya sebegitu. Jadi perbuatan dengan sengaja mengada-adakan metafora, subtle, atau mis en scene atau apa sahaja yang berkaitan dengannya, tanpa tujuan jelas hanya akan merosakkan mood karekter. Biarkan penonton mengalami pengalaman mereka sendiri dan menentukan, sama ada dialog-dialog yang dituturkan mempunyai maksud tersirat atau tidak.


KAITAN NARATIF DAN KARAKTER
            
        Apabila karakter sudah terbangun, sudah diberanakkan, membesar dan mempunyai ketrampilannya sendiri. Maka pengkarya sebenarnya sudahpun boleh mencuci tangan mereka. Apa yang hanya mereka perlu lakukan, hanya bertindak sebagai panduan supaya sesebuah karakter itu tidak tersasar dari kehendak asal karakter tersebut. Kaedah ini sebenarnya lebih memudahkan kepada pengkarya, berbanding memilih jalan yang telah sedia ada, iaitu mewujudkan naratif dahulu. Pengkarya tidak perlu lagi mengerahkan fikirannya untuk membuang atau menambah sifat-sifat karakter agar bersesuaian dengan kehendak naratif.


Walau apa pun kaedah yang digunakan, sama ada memikirkan jalan cerita terlebih dahulu, atau karakter yang memilih jalan ceritanya: naskhah tetap juga selesai bila diusahakan dipersembahkan di khalayak. Itu tidak dinafikan. Tetapi sesuatu perlu dilakukan apabila sesebuah teater tidak mencapai sasaran dan ini adalah sebuah usaha kecil saya yang cuba mengubah sudut pandang di dalam penghasilan sesebuah karya dan cadangan-cadangan saya ini juga adalah sebuah alternatif lain kepada pengkarya untuk memantapkan lagi sesebuah naskhah. Dan akhir sekali, kita harus menanyakan kembali, untuk tujuan apakah kita melahirkan naskhah kita,  sama ada untuk kepuasan penonton atau watak-watak terbitan kita itu sendiri?.

Tuesday 2 August 2016

Menyusun Gerakan Seni Moden

             



           
            *Diambil dari Google
           

              Gerakan seni secara kolektif bukanlah satu perkara  yang asing. Ia telah berlaku pada setiap tempoh-tempoh tertentu setelah gagasan seni yang sedia ada menjadi lapuk. Seni barangkali seperti agama yang mempunyai risiko korup dan sikap defensif status quo oleh pengikut tradisionalis. Oleh itu, ia sentiasa perlukan pembaharu yang dapat menyuntik perspektif yang segar.

            Pada tahun 1916, Di sebuah bar cabaret yang dinamakan Cabaret Voltaire, Hugo Ball dan beberapa rakan artis seperti Emmy Henning, Tristan Zara, Jean Arp, Marcel Janco, Richald Hulsenbeck dan ramai lagi telah berdiskusi konsep seni yang cuba menolak establishment dan estetika bourjois sehingga melahirkan aliran Dadaisme. Pada tahun 1918, Tristan Tzara telah mengariskan manifesto penting dalam gerakan dadais. Melalui majalah Cabaret Voltaire, artis dadais mengekspresikan idea, wacana dan polemik dalam kesenian. Gerakan Dada telah menjadi pencetus pada aliran seni moden yang lain.

            The Angry Young Movement, pula sebuah gerakan sastera yang lahir sekitar 1950, yang dipelopori gerakan penulis muda Britian seperti John Osborne, John Braine, Alan Silitoe, Bernard Kops dan beberapa nama lain yang kerap menghasilkan karya dalam bentuk novel dan skrip pentas. Gerakan ini memperjuangkan kelas bawahan dan golongan pekerja dengan ciri-ciri ekspresi secara memberontak dan sinis terhadap kegagalan pemerintah serta akibat dari kesan perang.

            Di Malaysia,  gerakan Anak Alam adalah sebuah komuniti yang ditubuhkan secara ‘longgar’ pada tahun 1974. Lattif Mohidin, Mustapha Ibrahim, Ali ‘Mabuha’ Rahamad, serta Zulkifli Dahalan telah memulakan pertubuhan ini. Dalam Manifesto mereka yang ditulis dalam gaya sajak, gerakan Anak Alam menyatakan sikap kesedaran mereka terhadap alam yang diterjemahkan melalui kegiatan seni mereka dengan menyampaikan imaginasi dalam kejujuran serta kebenaran. Anak Alam menjadi sebuah lapangan pada seniman seterusnya.

            Setelah fasa Anak Alam, lahir juga beberapa gerakan-gerakan penting antaranya seperti Universiti Bukan Universiti (UBU), yang diasaskan Hishamuddin Rais yang lebih kental dengan pendirian politik melawan rejim. Antara sumbangan penting melalui persembahan berkonsep ‘Teater Bukan Teater’ yang menumpukan pada kritikan-kritikan politik yang dipentaskan di merata-rata  tempat.
          
        Setelah itu kegiatan seni secara kolektif semakin jarang. jika ada pun ia terpecah-pecah dalam kelompok yang kecil .Mungkin sukar pada orang-orang seni untuk mengerakkan dan menyertai kerana kekangan-kekangan peribadi, tetapi di mana mahasiswa-mahasiswa kesenian yang kita maklum keadaan lapang mereka?

            Saya melihat ada potensi yang besar pada mahasiswa untuk menjalankan kerja-kerja aktivis seni dalam model penubuhan gerakan ‘longar’ (boleh ambil model dari Anak Alam). Kita mempunyai banyak fakulti kesenian dan kemanusian di pelbagai universiti. Katakan sahaja di Kuala Lumpur dan di sekitarnya, terdapat beberapa institusi yang fokus pada pendidikan kesenian. Misalnya Aswara, UiTM, UPM, USM, UM dan tidak termasuk institusi-institusi swasta.

            Dengan kemudahan jalinan komunikasi, rasanya perkara ini tidak susah untuk direalisasikan. Jymy Asmara semasa memulakan Asas 50, hanya menggunakan surat untuk mengumpulkan teman-teman seniman yang bertebaran di serata negeri. Atau memang pelajar universiti kita hanya gemar melakukan perkara-perkara yang memalukan diri mereka sendiri seperti confession di media sosial, atau kumpulan mana dapat membuat kuih donut paling terbanyak?

            Saya mengarahkan gesaan ini pada mahasiswa kerana melihat pada latar belakang ilmiah yang dimiliki oleh penuntut-penuntut universiti. Amat sayang sekali tidak ada suara-suara mahasiswa yang memiliki pendidikan di dalam isu-isu kesenian dan kemanusiaan. Misalnya polemik antara sastera perdana dan sastera indie yang hangat baru-baru ini, Majalah Dewan Sastera mengalu-alukan pandangan terhadap polemik ini. Saya sendiri tertanya-tanya apa pendirian mahasiswa sastera mengenai isu ini, atau mereka memang tak tahu menahu langsung?

                Melalui gerakan yang ditunjangi oleh Mahasiswa, sedikit sebanyak dapat mencerahkan masyarakat mengenai idea-idea seni yang kompleks. Pada saya itulah tugas intelektual yang sinonim dengan mahasiswa sendiri; memberikan pencerahan dan penjelasan dari idea yang rumit menjadi senang untuk diterima.

            Saya sendiri meragui, apakah makcik yang tinggal di kampung akan memahami sebuah teater surrealisme  jika kita tak memperkenalkan prinsip gagasan tersebut.

            Atau bagaimana seorang rempit akan menikmati musik Chopin yang kompleks kalau tanpa penerangan background ilmu muzik itu sendiri.

           Saya sendiri ada pengalaman begini, setelah keluar dari menonton filem Bunohan di panggung, sepasang kekasih di hadapan saya berjalan keluar sambil merungut, filem tersebut tak dapat difahami. Saya tak menganggap mereka salah. Untuk memahami keistimewaan filem tersebut, saya sendiri terpaksa menghadiri kuliah teori filem dan apresiasi, dan membaca sebilangan buku-buku tentang filem. Itu pun sehingga kini ada beberapa bahagian dalam filem tersebut saya masih kabur.
            Terlalu banyak aliran-aliran dalam historikal seni sehingga kini. Realisme sosial, Realisme magis, Absurdisme, Avant-garde, Surrealisme, Post-modern, Cubisme, antara beberapa contoh. Bagaimanakah masyarakat awam perlu menanggapi karya-karya tersebut jika mereka tidak didedahkan terlebih dahulu pemahamamnya. Maka adilkah kita untuk menganggap khalayak awak tidak ada apreasiasi terhadap seni sebelum kita memperkenalkan terlebih dahulu?

            Maka visi penubuhan gerakan seperti ini amat mustahak untuk difikirkan. Sebuah gerakan yang aktif mengadakan pertemuan sesama sendiri, melakukan pertukaran maklumat dan merumuskan dalam bahasa rakyat, mengadakan seminar-seminar awam, dan mewujudkan satu wadah seperti Majalah tersendiri, untuk memberikan respon, idea-idea terkini, dan memuatkan kajian-kajian mengenai seni di dalam majalah tersebut.

            Gerakan begini mungkin kedengaran terlalu idealis tetapi tak mustahil untuk direalisasikan jika kita semua mempunyai semangat yang gigih, sifat rendah diri, dan perasaan untuk memartabatkan seni itu sendiri. Jika bukan pelajar seni, saya terfikir juga maka siapa lagi? Seniman yang lahir tanpa mengikuti pengajian secara khusus tidak memikul beban ini, mereka karyawan bebas tetapi pelajar sebaliknya, mereka telah dibiayai untuk belajar maka mereka perlu membalasnya pada masyarakat.

            Saya teringat satu petikan tulisan arwah Loloq dalam Majalah Siasah, “alangkah seronoknya jika ada sebuah sanggar seni di Kuala Lumpur ini-tempat semua golongan seniman bertemu dan berwacana. Mungkin ruang penciptaan akan lebih luas, kerana bagi saya kreativiti itu wajib dibantu dengan pelbagai ilmu (cabang dan ranting)”.


Saturday 30 July 2016

Aktor dan Sindrom 'Miskin Imaginasi'

     

*Gambar diambil dari Google
  
          Lakonan sentiasa mengujakan untuk saya fikirkan, kerana sifat-sifat ambiguiti yang terdapat padanya. Susah untuk menentukan lakonan yang ideal. Ada orang yang sukakan lakonan ekspresif, ada pula sukakan lakonan yang natural, dan saya sendiri pernah menemui seseorang yang mengakui ia cukup senang melihat lakonan kayu. Perbezaan ini perlu dikaitkan dengan period zaman dan aliran gaya seni. Teater Yunani penampilannya sangat berbeza dengan Teater Moscow , serta tak sama teknik lakonan yang diperkenalkan Brecth dan Grotowski. Itu perlu difahami.

            Dari sifat ketidakjelasan dalam bidang lakonan membuatkan ia menarik untuk diperdebatkan. Andaian saya ini mungkin tidak kuat, tetapi secara realitinya kita boleh menyaksikan bahawa bidang ini dengan sengaja diremehkan.

Ada pelakon yang bagus melalui jalan penguasaannya secara  teori. Ada yang melalui kebiasaan yang berterusan. Ada juga yang pertama kali menampilkan dirinya dan memberikan kesan hebat. Ada yang menjadi dengan pengarah tertentu dan menurun bila di bawah pengarah lain. Dari pemerhatian ini membuatkan saya tertanya-tanya, bagaimanakah lakonan yang ideal?

 Apakah asas atau kelayakan yang perlu ada untuk menjadi seorang pelakon? Seolah-olah sesiapa sahaja boleh berlakon asalkan mereka memiliki pakej yang sesuai, contohnya segak untuk watak antagonis, fizikal yang menonjol untuk watak komedi. Siapa yang telah menentukan tanggapan ini, penerbit? Pengarah? Penonton?

Lakonan perlu ditanggapi secara akademik, empiris, dan mungkin jika ada keinginan yang lebih jauh, secara spiritual (saya bayangkan aktor kita memanjat gunung dan bertapa dalam gua). Pelajar-pelajar lakonan misalnya boleh mengumpulkan data-data pelakon melayu secara akademik untuk dijadikan model perbandingan. Sepatutnya gaya lakonan dari masyarakat melayu mestilah mempunyai perbezaan dari gaya barat. Etos melayu mempunyai perbezaan dengan etos-etos dari budaya lain dan melalui kajian secara sistematiklah yang akan dapat mengayakan ilmu lakonan milik kita.
 Pernah tercatat, bahawa pelakon-pelakon teater klasik india, telah dilatih sejak mereka kecil lagi. Teater tradisional sangat menekankan kesempurnaan kerana ia adalah ritual keagamaan. Mungkin ia sudah tidak relevan pada zaman ini untuk bermula sejak kecil, tetapi gambaran ini boleh dijadikan sebagai sebuah contoh bagaimana masyarakat silam menghargai lakonan. Ia dianggap satu kerja yang kudus berbanding orientasi pelakon hari ini, yang mengejar kemilau populariti dan satu sumber pendapatan.

            Selain itu, aspek imaginasi sebagai essence juga bagaikan tak menjadi keutamaan sebagai persediaan pada pelakon. Buku dan aktor tidak intim seperti mana-mana kerjaya profesional lain. Sukar untuk mendengar wawancara bersama aktor, mengenai buku apa yang menjadi rujukan untuk membawakan watak ini. saya tertarik dengan bengkel teater yang dikendalikan oleh Ws Rendra suatu ketika dulu.  Rendra dan kumpulannya sangat membudayakan perbincangan ilmiah dari berbagai-bagai disiplin pengajian dari sosiologi, psikologi, teologi, falsafah sehinggalah kosmologi. Budaya ini tak kita dapati disini. Perbincangan hanya terapung pada permukaan sahaja. Terutamanya beberapa aspek zahir seperti kesesuaian aktor, mimik dan gesture.

Pelakon juga disarankan untuk meneliti novel-novel atau skrip pentas agung. Misalnya pembinaan watak di dalam novel menekankan aspek karakter multi-dimensi, contohnya karakter Theresa Raquin tulisan Emile Zola. Thresa adalah perempuan yang hidup dalam tekanan tetapi jiwanya hauskan pada kebebasan. Ia menyembunyikan kehendaknya dari pandangan ibunya, tetapi karakter buasnya terkeluar saat bersama kekasihnya. Watak yang kompleks sebegini terdapat dalam banyak novel-novel yang bermutu. Pembacaan yang teliti boleh mengembangkan daya imaginasi serta memberikan lebih warna dalam karakter lakonan.

Pelakon-pelakon yang streotaip, yang tidak mempunyai warna pada watak saya menganggapnya sebagai satu gejala ‘kemiskinan imaginasi’. Pelakon sebegini biasanya mengikut acuan tanggapan yang telah sedia ada dalam kotak fikiran yang sempit. Misalnya, penjenayah sinonim berambut panjang dan selekeh, pesakit psiko kerap mata terbelalak dan  menjerit tak tentu arah. Kekurangan dari segi pembacaan, tontonan filem yang meluas dan kurang menganalis kehidupan seharian adalah antara punca pada gejala ini. ( dengar cakap saya, jika anda ada simptom-simptom ini, lekas-lekas memperbaiki diri).

            Perbincangan dalam lakonan sepatutnya lebih luas dan perlukan kajian yang lebih mendalam.Tulisan ini saya menganggapnya sebagai pemula atau pembuka jalan untuk meraikan bidang lakonan yang lebih bersifat kritis. Kerjaya ini tak seperti kerjaya lain, tak ada modul dan klasifikasi untuk tentukan. Anda perlu mencari kelainan untuk terus berada di atas pentas, atau jika tidak hanya menjadi pelakon tangkap muat yang akan dilupakan apabila berlalunya zaman. Nilai lakonan adalah subjektif seperti yang telah saya tulis awal-awal, tetapi sekurang-kurangnya jika dianggap ‘kayu’ dalam lakonan, anda telah menyediakan pembuktian dan kewajaran dalam gaya tersebut.