Sunday 31 December 2017

Ketika Kucingku bernama Ros, Mati Tua.


Tak ada sesiapa dalam keluarga saya sukakan kucing.

Emak saya akan pastikan saya buang kucing jika ada yang tersesat ke rumah kami. Buang kucing adalah bahagian saya. Alasannya, kerana saya satu-satunya lelaki remaja di rumah. Saya tak suka melakukan kerja ini, kerana saya takut pada kucing, terutama matanya. Tetapi, rebel macam mana pun saya, tetaplah tak tahan untuk dengar leteran emak.

Ada seekor kucing perempuan remaja datang ke rumah. Rona wajahnya serius dan punya pandangan yang tajam. Emak saya tak sukakannya. Kakak saya tak sukakannya. Abang saya tak sukakannya Saya juga sama. Barangkali adik saya sahaja yang akan okay, tetapi dia masih terlalu muda dan mentah untuk memelihara kucing secara mandiri.

Emak saya persis Marie Antoinette, mengarahkan saya pergi buang.

“Bawa kucing tersebut keliling kampung biar dia keliru, dan letak mana-mana semak hujung kampung” pesannya keras.

Ayah saya secara veto melarang. Ini memelikkan saya, kerana saya bukan kenalnya sebagai animal lovers sebelum ini. Praktikalnya, dia adalah lelaki dewasa yang sarat dengan idea sosialis, tetapi jadikan Mahathir sebagai idola. Saya percaya, dia mungkin terbaca di mana-mana hadis mengenai bela kucing.

Jadi kucing tersebut dibenarkan tinggal di dalam rumah kami dengan situasi relapaksa. Kami namakan ia Ros. Nama yang mempunyai elemen kampung dan senang disebut. Adik perempuan saya mulanya cadangkan guna nama Tengku Sharifah Salma Black, tapi kami sekeluarga menolaknya dengan keras. Terlalu berat nama tersebut bagi seekor kucing, kata saya sok-sok intelek.

Kami beri nama padanya hanya untuk mudahkan kami merujuknya secara spesifiknya.  Tak ada sesiapa di antara kami yang bernafsu untuk berkomunikasi dengan binatang, apatah lagi belainya. Saya sentiasa percaya, membelai kucing adalah hobi orang borjuis yang tinggal di bandar.

Emak saya juga rasa pelik untuk panggil kucing dengan nama kucing bila dah tinggal bersama, jadi ia terpakai dengan dalam situasi perbualan kami seperti,

“Tom, kau dah beri Ros makan?”

Atau

“Laila, pergi check Ros kat tandas. Lama sangat dia buat apa?”

Selepas kucing, ayah saya dengan enthuastism, macam dirasuk semangat membela haiwan. Saya puji sikap ambil beratnya pada binatang, tetapi menurut saya ia mestilah disertakan juga dengan sedikit ilmu kebinatangan.

Dia bawa balik seekor ayam. Anak ayam. Ayam tersebut kecil dan adik saya yang paling kecil macam gemarkannya. Ayah seorang lelaki yang careless. Ia sangat malas sampai untuk fikirkan idea membina reban untuk ayam tersebut. Ayam itu tinggal dalam rumah bersama.

Emak sangat marah kerana ayam bukanlah binatang peliharaan seperti anjing atau kucing yang kita biasa lepaskan dalam rumah. Saya tak cakap apa-apa kerana rasa lucu juga tinggal serumah bersama ayam. Ayam tersebut mungkin mati atau terlepas beberapa hari selepas itu. Saya tak fikirkannya langsung. Ia datang dan pergi macam ninja dan bayangnya.

Selepas kegagalannya membela ayam, ayah saya bawa balik ikan dan letakkan dalam kolah mandi. Dia tak beritahu kami apa-apa mengenainya. Apabila saya hendak mandi, baru saya sedar ada beberapa ekor ikan yang sedang berenang  tenang dalam kolah. Saya sudah ceduk air, dan terpaksa patahkan hasrat tersebut. Saya akhirnya putuskan mandi di shower sahaja. Mandi  bawah shower kurang best berbanding mandi dari kolah, tapi nak buat macam mana. Saya perlu menghormati living being yang lain juga.

Selepas beberapa hari, saya lihat air di kolah keruh. Ikan sudah mati. Rupa-rupanya tak ada sesiapa yang gantikan air tersebut. Jadi satu kerja saya pula, sebagai lelaki remaja yang untuk membersihkan kolah tersebut.

Yang paling ekstrim bila ayah bawa pulang anak beruk. Dia tambat di bawah rumahnya. Beruk adalah binatang di tangga teratas yang paling saya takuti. Saya masih trauma dengan kenangan masa kecil. Saya pernah lihat dengan mata saya, beruk dewasa gigit punggung adik perempuan saya dan saya ketika itu tak berani buat apa-apa. Hati saya terlalu muda. Adik saya menangis-nangis pada waktu itu. Yang peliknya, saya sekarang yang trauma dan adik saya tak ada apa-apa pula.

Kali ini saya protes secara halus. Saya hasut emak dan adik-adik saya supaya beruk tersebut dilepaskan. Mereka tak berani kerana takutkan ayah. Oklah saya perlu terima kehadiran seekor beruk yang berada di bawah rumah saya. Apabila saya hendak keluar rumah dan bertembung muka dengannya, saya sering berbisik atau menyapa padanya, “Mengapalah kau ada di sini, Tony”. Saya beri namanya Tony, sempena nama Tony Montana dalam filem Scarface.

Dia beri reaksi bingung. Mungkin dia juga memikirkan tentang keberadaanya di rumah kami. Ini persoalan eksistensial pada saya dan Tony…agaknyalah.

Beberapa bulan selepas itu Tony terlepas. Tali yang mengikat lehernya putus, kerana  fizikalnya telah membesar. Ia terlepas dan ditangkap pula jiran sebelah rumah kami. Akhirnya  jiran tersebut memeliharanya. Kami sekeluarga mula tenang kembali. Ayah pula macam tak tahu tentang ini. Saya rasa ia tahu, cuma ia sengaja tak tanya kerana akhirnya kami boleh salahkannya juga.

Tony juga kami lihat lebih gembira dengan tuan barunya. Sesekali jiran saya akan bawa Tony berjalan dengan menenggekkan dibahunya. Kami sekeluarga dari koridor akan melambai-lambai padanya, berharap ia masih ingat kami secara tulus. Juga, berharap tidak menyimpan dendam pada kami. Sebenarnya, tidak baik untuk manusia dan binatang saling menyimpan dendam dalam hati.

Ros dapat bertahan lebih lama, mungkin kerana sifat kucing yang sentiasa fleksibel. Ia hidup dalam dunianya yang sepi. Tak ada sesiapa di antara kami yang menjemputnya menonton tv bersama, makan cekodok tatkala hujan, atau bergosip tentang perangai jiran-jiran yang kami benci.

Ia buat hal sendiri. Bila lapar ia akan mengiau, dan saya akan beri makan padanya. Selepas itu ia akan tidur seharian di sudut rumah atau termenung panjang.

Penderitaan psikologinya selepas anak-anaknya mati lebih teruk. Ia semakin murung, walaupun begitu tetap tak ada dari kami yang simpati. Apa yang kami boleh buat sebenarnya?
Sebagai penulis, saya sentiasa berjaga di waktu malam. Menjadi penulis di Malaysia tak ada pilihan untuk menulis ketika siang. Tak sejuk dan sunyi.

Apabila buntu, saya biasa termenung di beranda rumah. Ros juga sama. Saya tak tahu habitat kucing secara tepat. Pada malam yang biasanya sepi dan panjang, hanya kami berdua sedia untuk masuk ke dalam malam. Saya dan Ros saling bertukar pandang, dan berkongsi kesunyian lewat mata.

Ia pandang saya dengan mata kosongnya, dan saya balas dengan pandangan harapan. Ia terus berlaku pada setiap malam. Sehinggakan saya rasa, hanya Ros yang memahami saya dengan cukup dalam.
Tak lama kemudian, Ros mati. Ia berlaku dengan sangat mendadak. Adik saya mendapati Ros telah putus nafas suatu pagi. Emak saya mintanya untuk tanamkan di belakang rumah. Kami tanggapi perkara tersebut biasa sahaja.

Pada malam-malam seterusnya, saya masih dengan rutin penulis Malaysia menulis sepanjang malam persis kelawar. Cuma, ia menjadi sedikit berbeza apabila saya bersendirian. Malam menjadi lebih bising berbanding sebelumnya.

Saya kerap ulang menyanyikan lirik lagu Red Hot Chili Peppers, scar tissue, untuk mengisi malam dan menghiburkan diri sementara idea menulis tiba,


Scar tissue that I wish you saw
Sarcastic mister know it all
Close your eyes and I'll kiss you
'Cause with the birds I'll share...

With the birds I'll share this lonely view
With the birds I'll share this lonely view