Monday 15 May 2017

Sembang: Mamak The Musical








Ini kali kedua menonton teater dengan format Musikal. Yang pertama semasa pementasan teater Tun Hasmah di Istana Budaya. Saya dapat masuk percuma atas tiket pelajar.

Saya memang mengelak dari menonton teater musikal kecuali kalau terjadi macam kes di atas. Ia sesuai dengan pendirian anti-komersialisme saya. Saya rasa saya akan boleh layan teater musikal kalau moodnya lebih gothik dan lirik-lirik dengan tema yang lebih berat.

Tetapi untuk Mamak The Musikal saya kena wajib datang...Saya hardcore teh tarik Mamak.

                Sebelum kita pergi dengan lagi mendalam, kita perkatakan dahulu aspek-aspek teknikalnya. Settingnya realistik. Macam diambil sebijik dari kedai Mamak One Z (Restoren Mamak yang paling hampir dengan UiTM Puncak Perdana). Ini mungkin sebahagian stratergi untuk memikat audien dari pelajar fakulti FiTA .

Saya sukakannya cuma rasa ia agak sarat dan membataskan ruang untuk pelakon bergerak. Posisi saya di baris belakang (bahagian depan dikhususkan untuk VIP) membuatkan saya tak nampak pergerakan pelakon yang berada di bahagian belakang. Ada juga tiang-tiang staging yang membuatkan ia nampak macam setting di tapak-tapak pembangunan projek.

                Pencahayaannya meriah. Saya rasa macam sedang menonton konsert terutamanya bila ada lighting dipancarkan pada audien. Agaknya mungkin sebab saya yang tak biasa menonton Teater Musikal. Pencahayaannya juga menimbulkan efek yang janggal pada beberapa babak. Terutamanya babak klimaks yang mana warna merahnya terlalu garang, sehinggakan saya rasa seperti menonton sebuah teater genre thriller dalam acuan komedi. Pencahayaan kita masih lagi klise apabila babak tegang akan sentiasa disinonimkan dengan hanya kaler merah. Ini saya selalu jumpa dalam mana-mana teater.

                Sekarang saya akan menyentuh pada essence dalam sesebuah teater. Idea penulisannya agak lemah. Cerita sebenar bermula bila di pertengahan cerita. Mereka mengambil masa yang cukup lama hanya untuk establish watak-watak utama. Ianya okay kalau pengenalan watak tersebut dilakukan dengan penuh gaya, tetapi sayangnya banyak hal-hal yang meleret pada permulaan cerita. Momentum sebenar berlaku bila masuk ¾ cerita. Tetapi saya suka dengan pergerakkan pengunjung keluar masuk di atas pentas. Sangat alive. Ada satu adegan dimana beberapa pengunjung sedang bayar harga makanan dan salah seorang rakannya bergerak balik dulu. Itu memang sangat familiar.
               
                   Dialog mereka juga terlalu santai. Saya sukakan teater kerana kekuatan dialog yang susah nak ditemui dalam filem. Sayangnya tak didapati dalam persembahan ini. Dialog hanya berfungsi sebagai kesinambungan pada lagu-lagu yang seterusnya. Mengenai lirik-lirik lagunya, ada yang agak enjoi terutama pada beberapa lagu yang terakhir. Ada juga dipancarkan klip video yang lucu di skrip LED. Saya tak tahu nak cakap macam mana, ada beberapa klip yang saya rasa okay dan ada yang agak teruk dalam konteks teater.

                Bila dialog tak kuat, secara kausalitinya akan mempengaruhi karakter. Dalam Mamak The Musical, tak ada karakter yang kuat untuk saya pegang. Bila kita cakap Mamak, kita teringin untuk rasa kemesraan yang kita selalu terima bila lepak di kedai Mamak, tetapi yang berlaku dalam teater ini membuatkan saya rasa jauh dan janggal, terutamanya untuk watak pembantu kedai Indonesia. Agak melucukan kerana bahasa yang digunakan seperti menonton sinetron atau filem-filem Indonesia dengan latar Jakarta. Membawa karakter pekerja asing agak merbahaya kerana perlu kajian yang lebih mendalam, misalnya kita perlu maklum pekerja am indonesia yang datang ke sini kebanyakkannya dari kawasan yang lebih terpencil, seperti Jawa, Acheh atau Padang yang mana bunyi slang mereka agak berbeza dengan Indonesia Jakarta yang lebih hip.(Saya memang ramai kawan dari Indonesia dan ini buatkan saya sangat peka dengan slang-slang yang digunakan mereka)
              
               Teater habis sekitar jam 11. Selepas itu kami ke Restoren Murni di Seksyen 7 sebelum balik. Nasi goreng harga RM 14 yang rasanya ntah apa-apa menambahkan lagi kekecewaan hati saya. Saya sepatutnya boleh agak dari awal-awal lagi macam biasa saya buat bila masuk kedai yang tak familiar.

Oh okay, itu bukan penutup yang sepatutnya. Tahniah untuk team produksi Mamak The Musikal yang terdiri dalam kalangan pelajar yang berupaya mementaskan sebuah teater dalam skala yang agak besar.


                Ane....Teh Tarik, satu!!!!