Tak
ada sesiapa dalam keluarga saya sukakan kucing.
Emak
saya akan pastikan saya buang kucing jika ada yang tersesat ke rumah kami.
Buang kucing adalah bahagian saya. Alasannya, kerana saya satu-satunya lelaki
remaja di rumah. Saya tak suka melakukan kerja ini, kerana saya takut pada
kucing, terutama matanya. Tetapi, rebel macam mana pun saya, tetaplah tak tahan
untuk dengar leteran emak.
Ada
seekor kucing perempuan remaja datang ke rumah. Rona wajahnya serius dan punya
pandangan yang tajam. Emak saya tak sukakannya. Kakak saya tak sukakannya. Abang
saya tak sukakannya Saya juga sama. Barangkali adik saya sahaja yang akan okay,
tetapi dia masih terlalu muda dan mentah untuk memelihara kucing secara
mandiri.
Emak
saya persis Marie Antoinette, mengarahkan saya pergi buang.
“Bawa
kucing tersebut keliling kampung biar dia keliru, dan letak mana-mana semak
hujung kampung” pesannya keras.
Ayah
saya secara veto melarang. Ini memelikkan saya, kerana saya bukan kenalnya
sebagai animal lovers sebelum ini.
Praktikalnya, dia adalah lelaki dewasa yang sarat dengan idea sosialis, tetapi
jadikan Mahathir sebagai idola. Saya percaya, dia mungkin terbaca di mana-mana
hadis mengenai bela kucing.
Jadi
kucing tersebut dibenarkan tinggal di dalam rumah kami dengan situasi relapaksa. Kami namakan ia Ros. Nama
yang mempunyai elemen kampung dan senang disebut. Adik perempuan saya mulanya
cadangkan guna nama Tengku Sharifah Salma Black, tapi kami sekeluarga
menolaknya dengan keras. Terlalu berat nama tersebut bagi seekor kucing, kata
saya sok-sok intelek.
Kami
beri nama padanya hanya untuk mudahkan kami merujuknya secara spesifiknya. Tak ada sesiapa di antara kami yang bernafsu
untuk berkomunikasi dengan binatang, apatah lagi belainya. Saya sentiasa
percaya, membelai kucing adalah hobi orang borjuis yang tinggal di bandar.
Emak
saya juga rasa pelik untuk panggil kucing dengan nama kucing bila dah tinggal
bersama, jadi ia terpakai dengan dalam situasi perbualan kami seperti,
“Tom,
kau dah beri Ros makan?”
Atau
“Laila,
pergi check Ros kat tandas. Lama sangat dia buat apa?”
Selepas
kucing, ayah saya dengan enthuastism, macam dirasuk semangat membela haiwan.
Saya puji sikap ambil beratnya pada binatang, tetapi menurut saya ia mestilah
disertakan juga dengan sedikit ilmu kebinatangan.
Dia
bawa balik seekor ayam. Anak ayam. Ayam tersebut kecil dan adik saya yang paling kecil macam gemarkannya.
Ayah seorang lelaki yang careless. Ia
sangat malas sampai untuk fikirkan idea membina reban untuk ayam tersebut. Ayam
itu tinggal dalam rumah bersama.
Emak sangat marah kerana ayam bukanlah binatang
peliharaan seperti anjing atau kucing yang kita biasa lepaskan dalam rumah.
Saya tak cakap apa-apa kerana rasa lucu juga tinggal serumah bersama ayam. Ayam
tersebut mungkin mati atau terlepas beberapa hari selepas itu. Saya tak
fikirkannya langsung. Ia datang dan pergi macam ninja dan bayangnya.
Selepas kegagalannya membela ayam, ayah saya bawa
balik ikan dan letakkan dalam kolah mandi. Dia tak beritahu kami apa-apa
mengenainya. Apabila saya hendak mandi, baru saya sedar ada beberapa ekor ikan
yang sedang berenang tenang dalam kolah.
Saya sudah ceduk air, dan terpaksa patahkan hasrat tersebut. Saya akhirnya
putuskan mandi di shower sahaja. Mandi
bawah shower kurang best berbanding mandi dari kolah, tapi nak buat
macam mana. Saya perlu menghormati living
being yang lain juga.
Selepas beberapa hari, saya lihat air di kolah keruh.
Ikan sudah mati. Rupa-rupanya tak ada sesiapa yang gantikan air tersebut. Jadi
satu kerja saya pula, sebagai lelaki remaja yang untuk membersihkan kolah
tersebut.
Yang paling ekstrim bila ayah bawa pulang anak beruk.
Dia tambat di bawah rumahnya. Beruk adalah binatang di tangga teratas yang
paling saya takuti. Saya masih trauma dengan kenangan masa kecil. Saya pernah
lihat dengan mata saya, beruk dewasa gigit punggung adik perempuan saya dan
saya ketika itu tak berani buat apa-apa. Hati saya terlalu muda. Adik saya
menangis-nangis pada waktu itu. Yang peliknya, saya sekarang yang trauma dan adik saya tak ada apa-apa pula.
Kali ini saya protes secara halus. Saya hasut emak dan
adik-adik saya supaya beruk tersebut dilepaskan. Mereka tak berani kerana
takutkan ayah. Oklah saya perlu terima kehadiran seekor beruk yang berada di
bawah rumah saya. Apabila saya hendak keluar rumah dan bertembung muka
dengannya, saya sering berbisik atau menyapa padanya, “Mengapalah kau ada di
sini, Tony”. Saya beri namanya Tony, sempena nama Tony Montana dalam filem Scarface.
Dia beri reaksi bingung. Mungkin dia juga memikirkan
tentang keberadaanya di rumah kami. Ini persoalan eksistensial pada saya dan
Tony…agaknyalah.
Beberapa bulan selepas itu Tony terlepas. Tali yang
mengikat lehernya putus, kerana fizikalnya telah membesar. Ia terlepas dan
ditangkap pula jiran sebelah rumah kami. Akhirnya jiran tersebut memeliharanya. Kami sekeluarga
mula tenang kembali. Ayah pula macam tak tahu tentang ini. Saya rasa ia tahu,
cuma ia sengaja tak tanya kerana akhirnya kami boleh salahkannya juga.
Tony juga kami lihat lebih gembira dengan tuan
barunya. Sesekali jiran saya akan bawa Tony berjalan dengan menenggekkan
dibahunya. Kami sekeluarga dari koridor akan melambai-lambai padanya, berharap
ia masih ingat kami secara tulus. Juga, berharap tidak menyimpan dendam pada
kami. Sebenarnya, tidak baik untuk manusia dan binatang saling menyimpan dendam
dalam hati.
Ros
dapat bertahan lebih lama, mungkin kerana sifat kucing yang sentiasa fleksibel.
Ia hidup dalam dunianya yang sepi. Tak ada sesiapa di antara kami yang menjemputnya
menonton tv bersama, makan cekodok tatkala hujan, atau bergosip tentang
perangai jiran-jiran yang kami benci.
Ia
buat hal sendiri. Bila lapar ia akan mengiau, dan saya akan beri makan padanya.
Selepas itu ia akan tidur seharian di sudut rumah atau termenung panjang.
Penderitaan
psikologinya selepas anak-anaknya mati lebih teruk. Ia semakin murung, walaupun
begitu tetap tak ada dari kami yang simpati. Apa yang kami boleh buat
sebenarnya?
Sebagai
penulis, saya sentiasa berjaga di waktu malam. Menjadi penulis di Malaysia tak
ada pilihan untuk menulis ketika siang. Tak sejuk dan sunyi.
Apabila
buntu, saya biasa termenung di beranda rumah. Ros juga sama. Saya tak tahu
habitat kucing secara tepat. Pada malam yang biasanya sepi dan panjang, hanya
kami berdua sedia untuk masuk ke dalam malam. Saya dan Ros saling bertukar
pandang, dan berkongsi kesunyian lewat mata.
Ia
pandang saya dengan mata kosongnya, dan saya balas dengan pandangan harapan. Ia
terus berlaku pada setiap malam. Sehinggakan saya rasa, hanya Ros yang memahami
saya dengan cukup dalam.
Tak
lama kemudian, Ros mati. Ia berlaku dengan sangat mendadak. Adik saya mendapati
Ros telah putus nafas suatu pagi. Emak saya mintanya untuk tanamkan di belakang
rumah. Kami tanggapi perkara tersebut biasa sahaja.
Pada
malam-malam seterusnya, saya masih dengan rutin penulis Malaysia menulis
sepanjang malam persis kelawar. Cuma, ia menjadi sedikit berbeza apabila saya
bersendirian. Malam menjadi lebih bising berbanding sebelumnya.
Saya kerap ulang menyanyikan lirik lagu Red Hot Chili Peppers, scar tissue,
untuk mengisi malam dan menghiburkan diri sementara idea menulis tiba,
Scar
tissue that I wish you saw
Sarcastic mister know it all
Close your eyes and I'll kiss you
'Cause with the birds I'll share...
With the birds I'll share this lonely view
With the birds I'll share this lonely view
Sarcastic mister know it all
Close your eyes and I'll kiss you
'Cause with the birds I'll share...
With the birds I'll share this lonely view
With the birds I'll share this lonely view
No comments:
Post a Comment